Televisyen 'melayang' atas kereta


Sebuah kereta PERODUA Myvi yang diletakkan di pangsapuri di Taman Seri Intan di sini rosak dihempap sebuah televisyen yang dibuang dari tingkat atas kediaman itu.

Kejadian disedari oleh pemilik kereta itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, televisyen itu tidak menghempap sesiapa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihak pengurusan pangsapuri itu membuat aduan berhubung kejadian itu pada jam 12.50 tengah hari.

"Ketika kejadian, ada pihak pengurusan berada di kebun berhampiran pangsapuri berkenaan sebelum dia menyedari ada satu objek iaitu televisyen seberat kira-kira 10 kilogram dibuang dari tingkat atas dan terkena sebuah kereta PERODUA Myvi.

"Kami sudah mengambil keterangan daripada pemilik kereta berkenaan dan mendapati pemilik televisyen berkenaan adalah penghuni di tingkat 13 blok pangsapuri terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamzah berkata, berdasarkan keterangan pemilik televisyen berkenaan, dia meletakkan televisyen itu di depan rumah kerana sudah rosak dan mahu membuangnya.

"Televisyen itu diletakkan di depan rumah sejak kira-kira tiga minggu lalu kerana ketika dia mahu membuang televisyen berkenaan ia menghempap kakinya menyebabkan hanya diletakkan di depan rumah.

"Bagaimanapun, pemilik televisyen itu memaklumkan dia tidak mengetahui individu yang membuangnya ke bawah," katanya.

Siasatan lanjut dijalankan pegawai penyiasat mendapati tiada saksi yang melihat kejadian itu dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian," katanya.

Pada 15 Januari lalu, seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya, S Sathiwaran maut akibat dihempap sebuah kerusi dicampak dari tingkat atas Blok 102 PPR Sri Pantai di Bangsar.

Ketika kejadian, mangsa berjalan bersama ibunya, M S Kasthuribai, 45, untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16 blok terbabit.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==
Kode DFP2