Ini bukan satu mitos atau rahsia yang disimpan selama beratus atau beribu tahun. Golongan masyarakat ini hanya manusia normal yang hidup seperti biasa tetapi jangka hayat hidup mereka adalah lebih lama daripada kita.
Kumpulan etnik unik ini dikenali dengan nama Hunza. Etnik ini mendiami satu kawasan pergunungan dan lembah di Pakistan. Apakah rahsia mereka dapat hidup lebih lama dan menjadi satu masyarakat yang unik?
Etnik Hunza sangat unik kerana kebanyakan mereka celik huruf dan berpendidikan sehingga ke sekolah menengah walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman.
Kadar celik huruf di kalangan etnik Hunza ialah sehingga 95 peratus. Di Lembah Hunza ini terdapat dua wilayah yang membahagikan penempatan masyarakat Hunza, di samping terdapat 4 etnik lain yang mendiami kawasan tersebut.
Perkara paling mengagumkan bagi etnik Hunza ialah kebanyakan mereka dapat hidup lebih lama dengan jangka hayat dari usia 120 ke 150 tahun.
Pada usia 65 tahun, ada kalangan golongan wanita daripada etnik ini yang masih mampu melahirkan anak. Bagaimana mereka boleh melakukan perkara yang agak mustahil pada pandangan kita yang biasa ini?
Mereka berkata tiada apa-apa rahsia dalam mengekalkan kesihatan yang baik. Tetapi kita boleh melihat kebanyakan mereka hidup sihat kerana mengamalkan cara dan gaya hidup yang sihat.
Mereka tidak pernah malas dengan bekerja keras dan pantas setiap hari mengerjakan ladang serta memelihara haiwan ternakan.
Apa yang paling penting, etnik Hunza tidak memakan makanan yang telah diproses. Mereka memakan makanan yang dimasak dan disediakan secara semulajadi dengan buah aprikot sebagai makanan utama.
Oleh kerana makanan mereka datang daripada sumber yang menyihatkan, etnik Hunza tidak pernah mengetahui apa itu makna perkataan kanser kerana tidak pernah mengalaminya.
Secara hakikat, etnik Hunza menanam sendiri semua makanan mereka dan minum air dari sumber air pergunungan dan glasier. Mereka menghidu udara bersih dan sumber dari persekitaran yang bersih membekalkan nutrien makanan untuk kesihatan yang baik.
Faktor ini membolehkan jangka hayat kehidupan etnik Hunza menjadi lebih panjang daripada usia manusia biasa. Tidak hairan semasa usia wanita etnik Hunza sudah mencapai 65 tahun, mereka masih subur dan mampu lagi melahirkan anak.
Jadi apa yang boleh kita pelajari daripada etnik Hunza untuk sekurang-kurangnya hidup sedikit sahaja lebih lama sebelum ajal menjemput pergi.
1. Didik diri dengan minda yang sentiasa aktif
Dengan mengekalkan otak dan minda yang aktif bersama pendidikan akan membina badan yang sihat. Otak yang sentiasa cerdas dan cergas dengan pelbagai aktiviti akan mampu memberi kehidupan yang sihat.
2. Anda mampu memperolehi kesihatan yang baik walaupun hidup bersendirian
Sama ada anda hidup berkeluarga atau hidup membujang, kehidupan yang positif dan gembira mampu memberi kesihatan yang baik. Perhubungan yang baik dengan orang lain adalah kunci kebahagiaan dan kehidupan yang lebih bermakna.
3. Elakkan tekanan kehidupan atau stres
Tekanan atau stres adalah pembunuh senyap yang memendekkan jangka hayat seseorang. Elakkan diri dari mengalami keadaan stres, komplikasi dan tanggungjawab yang berlebihan kerana ia akan membebankan diri dan memberi kesan kepada kesihatan. Jika ia sedang berlaku, lakukan sesuatu untuk mencari ketenangan dan memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi.
4. Makan makanan yang dihasilkan secara organik atau semulajadi
Makanan dari sumber semulajadi adalah kunci utama kepada keadaan kesihatan yang baik. Sekiranya anda mampu menanam dan memelihara sendiri sumber makanan secara semulajadi, ia akan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan anda kelak.
5. Kekal aktif walaupun sudah berusia
Jangan berhenti melakukan aktiviti bersifat fizikal. Mungkin anda merasakan perkara ini agak sukar dilakukan setiap hari, tetapi jangan berhenti sepenuhnya walaupun anda berasa kepenatan kerana faktor usia. Sebaliknya kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal mengikut kemampuan usia anda. Dengan itu anda akan kekal sihat dan mungkin berumur panjang.