Viral di media sosial video seorang ibu membawa empat orang anaknya menaiki motosikal mencetuskan rasa simpati netizen di media sosial.
Video yang dirakam dan dimuat naik Nrftma Yussman atau Fatyma di Facebooknya semalam berkata, itu kali pertama dia melihat situasi seperti itu lalu menawarkan diri untuk membantu si ibu berkenaan.
“Maaf, tak sempat bertanya nama makcik ini Apa. Biasa tengok dalam televisyen saja orang seperti ini. Tetapi semalam betul-betul terjadi di depan mata dan kami tawarkan diri untuk membantunya.
“Sombongnya manusia yang ada kereta. Pengorbanan seorang ibu,” tulisnya.
Menurut Fatyma, si ibu dan empat orang anaknya itu dalam perjalanan pergi ke Kuala Lumpur dari Selayang untuk mengambil bantuan baju. Namun dalam keadaan seperti itu, mengundang banyak risiko berbahaya kepada anak-anak kecilnya.
Berdasarkan video, seorang anak lelaki ditempatkan di bahagian depan, manakala tiga lagi anaknya di bahagian belakang. Hanya si ibu dan anak sulungnya sahaja yang memakai topi keledar dan kedudukan anak lelakinya di belakang juga sangat berisiko untuk terjatuh.
Mujur Fatyma dan rakannya terserempak dengan keluarga berkenaan lalu menawarkan bantuan dengan membawa salah seorang daripada anak-anak si ibu berkenaan, membolehkan anak sulungnya duduk dengan selesa dan selamat.
Dalam post itu juga, Fatyma turut berkongsi nombor telefon wanita berkenaan agar mana-mana pihak atau individu yang baik hati sudi menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada mereka.
Sementara itu, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengambil maklum mengenai video viral tersebut dan menjelaskan bahawa, wanita berkenaan merupakan salah seorang penerima bantuan zakat yang diberikan secara bulanan melalui Skim Bantuan Kewangan Bulanan dan Skim Bantuan Am Persekolahan untuk anak-anak beliau.
Jelas Baitulmal lagi, penjelasan itu bukan untuk menghalang orang ramai memberi sumbangan dan bantuan kepada keluarga wanita berkenaan tetapi untuk memberi pencerahan bahawa wanita berkenaan telah dan sedang menerima bantuan zakat pihaknya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menunding jari atau melempar tuduhan yang tidak berasas terhadap pihak Baitulmal. Sebaliknya, bersama-sama mewujudkan sebuah masyarakat prihatin dan membantu golongan yang tidak berkemampuan.