Pemimpin politik positif dadah dalam disko


Seorang ketua bahagian sebuah parti politik bergelar Datuk, ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, di sini, selepas didapati positif dadah awal pagi tadi.

Serbuan dijalankan jam 2 pagi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan maklumat mengenai aktiviti hiburan tanpa lesen.

Hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik bernombor 202, pihak polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga Indonesia, dipercayai pelanggan pusat hiburan berkenaan bagi menjalani ujian saringan air kencing.

Menurut sumber, susulan itu, pemimpin parti politik berusia lewat 40-an terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Pemimpin politik yang turut menganggotai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersama sembilan lagi yang didapati positif dadah kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi pengunjung lelaki didapati negatif dadah.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, mengesahkan perkara berkenaan dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==
Kode DFP2