Saya mahukan bukti - Ahmad Bashah


Tun Dr Mahathir Mohamad perlu membuktikan dakwaannya bahawa Kerajaan Kedah sudah menjual tiga pulau kepada China, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan bertujuan memfitnah pentadbiran Barisan Nasional (BN) Kedah, Ahmad Bashah berkata, tuduhan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu langsung tidak boleh diterima.

Beliau yang juga Pengerusi BN Kedah berkata, tuduhan dilemparkan seolah-olah Dr Mahathir tidak pernah menjadi Perdana Menteri dan pemimpin BN serta UMNO selama 22 tahun.

"Saya mahukan bukti kononnya kami (kerajaan negeri) jual tiga pulau kepada orang China. Saya cabar beliau menamakan pulau terbabit. Langkawi ada kira-kira 99 pulau dan tiada satu pun yang dijual kepada China.

"Dr Mahathir perlu buktikan, jangan sewenang-wenangnya membuat tuduhan kepada BN dan UMNO. Sepanjang saya menjadi Menteri Besar, tiada satu pun pulau di negeri ini dijual kepada China.

"Kalau adapun, ia kawasan yang hendak dibangunkan, jadi syarikat terbabit perlu membuat pajakan seperti yang berlaku di Kulim Hi-Tech Park (KHTP)," katanya selepas merasmikan Jelajah Muafakat Kedah dan Jamuan Rakyat di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Dr Mahathir yang mendakwa Kerajaan Kedah menjual tiga pulau kepada China pada program ceramah pembangkang di Yan, dekat sini, Jumaat lalu.

Ahmad Bashah berkata, beliau hairan dengan Dr Mahathir yang berubah sekelip mata seolah-olah sepanjang 22 tahun pemerintahannya tiada kesalahan dilakukan.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Dr Mahathir hingga tergamak memfitnah BN yang selama ini menjadi landasan perjuangannya.

"Pada penghujung usianya iaitu 93 tahun, pemimpin pembangkang itu mengkhianati kepercayaan rakyat sebab mahu terus berkuasa dan kalahkan UMNO serta BN.

"Segala ucapan beliau selama ini menuduh DAP parti rasis kini berubah hingga sanggup bersama parti terbabit. Saya tidak sangka kerana dendam kesumat peribadi, beliau sanggup merosakkan parti yang selama ini didokongnya sebagai parti keramat," katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==
Kode DFP2