Penyanyi, Siti Nordiana, mendedahkan pernah menolak lamaran seorang lelaki berstatus suami orang kerana enggan menyakiti hati wanita lain.
Katanya, dia akan cuba menjauhkan diri daripada melayani lelaki sebegitu bagi mengelakkan timbul salah faham di pihak terbabit, sekali gus mengelakkan fitnah.
"Memang ada orang yang serius mahu mengajak saya berkahwin, tetapi saya terpaksa tolak kerana dia suami orang. Sebagai wanita, tentu saja saya cukup memahami hati golongan hawa.
"Kalau boleh mengelak, sudah pasti saya elak dan paling penting, jangan terus dilayan jika mereka nampak berlebih-lebih. Kita juga perlu bijak mengawal diri," katanya selepas majlis pelancaran single baharu nyanyiannya berjudul Hatiku Milikmu, di sini hari ini.
Begitupun, ibu tunggal anak satu itu berharap pendapat peribadinya tidak disalah erti atau mengguris perasaan insan lain kerana ia bukan ditujukan kepada sesiapa, sebaliknya hanya untuk diri sendiri.
"Jujurnya saya enggan menyentuh isu sebegini, tetapi andai sudah ditanya, inilah pandangan peribadi saya. Bimbang juga jika saya tersalah cakap, orang yang mengalami situasi itu pula akan terasa," katanya lagi.
Penyanyi dan pelakon berusia 34 tahun itu mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Nakhaie Rayyan, 10, hasil perkahwinannya dengan pelakon, Mohd Faizal Yusup.
Bekas suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2011. Mereka bercerai pada 2009, iaitu selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Sementara itu, mengenai single baharu yang menyaksikan video muziknya dirakam di Krabi, Thailand, bulan lalu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana mengakui teruja menunggu maklum balas peminat.
Lebih istimewa, video yang mendapat sentuhan produksi Storytellrs itu menampilkan dua teman seperjuangan, Fikry Ibrahim dan Alvin Chong.
Dalam tempoh beberapa jam ia dikongsi di YouTube, video Hatiku Milikmu sudah pun meraih lebih 30,000 tontonan.