Dihujani lambakan mesej dan pesanan peribadi di media sosial untuk berkongsi kasih, isteri penyanyi Lan Solo, Nur Sheila Hassim, mengambil pendekatan positif berhubung perkara itu.
Biarpun menerima banyak mesej 'lamaran' daripada sesetengah wanita yang ingin menjadi madunya, Sheila, 33, memilih untuk tidak melenting kerana cukup mengenali hati budi suami.
"Dulu pun saya ada juga mendapat mesej sebegini, namun tidaklah sehebat sekarang. Ia seperti makin menjadi-jadi sejak Lan menyertai program Gegar Vaganza musim keempat, tahun lalu. Senang kata, mesej sebegitu semakin kerap dilayangkan sejak Lan menukar penampilannya kepada imej berambut pendek.
"Saya cuba bersikap positif apabila membaca mesej dan komen yang ditinggalkan. Ia bermakna ramai peminat mengikuti perkembangan kerjaya Lan.
"Lagipun, saya amat kenal hati budi suami, jadi tidak perlulah untuk melenting tanpa usul periksa," kata Sheila kepada BH Online.
Sheila turut menjelaskan, dia tidak berhasrat untuk membuka aib mana-mana pihak apabila berkongsi 'permintaan nakal' sedemikian daripada peminat di Instagram.
"Saya seorang yang memang gemar berkongsi sesuatu di laman sosial. Kadangkala, kata orang, saya tidak berfikir panjang sebelum berbuat begitu. Jadi, apabila ada pihak lain yang marah-marah bagi pihak saya, barulah timbul kesedaran itu.
"Mungkin pada masa akan datang, saya perlu lebih berhati-hati sebelum memuat naik apa-apa ke laman sosial. Saya tidak mahu apa yang dikongsikan nanti mewujudkan sentimen negatif terhadap sesiapa," katanya.
Lan dan Sheila mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, Muhammad Akid Qassyaff, 4 dan Nur Amna Quxandra, yang dilahirkan 24 Februari lalu.