Seorang pemandu GrabCar dihukum penjara 41 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan mencabul, mengugut dan mencederakan seorang penumpang wanitanya, tahun lalu.
Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Izuwan Kamaruddin, 39, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.
Bagi pertuduhan mencederakan mangsa, tertuduh dihukum penjara 12 bulan, bagi pertuduhan mencabul kehormatan mangsa, dia dihukum penjara 14 bulan dan pertuduhan mengugut mangsa pula, tertuduh dihukum penjara 15 bulan.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan berasingan bermula dari tarikh jatuh hukum, menjadikan tertuduh perlu dipenjara selama 41 bulan.
Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Izuwan didakwa mencederakan mangsa yang juga seorang pelajar kolej swasta berusia 18 tahun ketika kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua pula, bapa kepada seorang anak itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatan mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan ugutan dengan niat menyebabkan kematian terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 506 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kereta PERODUA Myvi warna hitam, di Hutan Simpan Kompartmen 80, Hulu Langat, Ampang, di sini pada jam 11.45 pagi, 11 September 2017.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberihukuman serentak kepadanya atas alasan isterinya baru keguguran anak kedua mereka, selain perlu menjaga ibunya yang sakit tua.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah memberi hukuman setimpal kerana kegagalan tertuduh mengawal nafsunya menyebabkan pengadu kes ini menjadi mangsa.
Selain itu, Raihanah memohon mahkamah mengambil kira kesakitan, trauma dan kesan emosi dan fizikal mangsa.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa memesan GrabCar dari kolejnya untuk pulang ke asrama. Dalam perjalanan, tertuduh menukar haluan sebelum membawa mangsa ke lokasi tidak diketahuinya.
Tertuduh kemudian memberhentikan kereta lalu menerkam mangsa di tempat duduk belakang dan apabila mangsa meronta, tertuduh menumbuknya di dahi dan kepala serta mencekik leher wanita itu.
Tertuduh turut mengugut mahu membunuh mangsa jika tidak mengikut cakapnya dan mengarahkan mangsa duduk di hadapan tempat duduk penumpang.
Mangsa mengikut kehendak tertuduh dan lelaki itu bertindak memegang paha dan dada mangsa. Mereka kemudiannya menuju ke sebuah hotel di ibu kota. Tertuduh membawa mangsa ke sebuah hotel di Setapak dan selepas tertuduh memberhentikan keretanya, mangsa turun dan melarikan diri menuju ke sebuah bengkel berdekatan untuk meminta bantuan.