Mesin basuh sebenarnya barangan electrik yang paling bekerja kuat di rumah kita, nak pula kalau ada keluarga yang besar. Membasuh baju dah menjadi kewajiban setiap hari dan mesin basuh anda bekerja tanpa cuti dalam tempoh seminggu.
Meskipun di panggil sebagai mesin basuh, namun mesin ini tidak mampu membasuh dirinya sendiri walaupun ada sesetengah mesin basuh menyediakan setting autowash. Tetapi anda perlu tahu betul-betul bersih ke mesin basuh anda selepas proses autowash selesai?
Dengan mesin basuh yang bersih, pakaian yang kita basuh juga akan sentiasa bersih dan berbau harum. Berikut adalah beberapa tip dan petua untuk menjaga mesin basuh anda supaya ia berada dalam keadaan baik, bersih dan nampak seperti baru.
Mencuci dengan cara yang mesra alam menggunakan cuka putih dan soda penaik
Bahan utama yang diperlukan ialah cuka putih, soda penaik dan air.
1. Keluarkan penapis habuk dan kekotoran dan cuci ia dengan sedikit cuka dan serbuk penaik dan bilas dengan air lalu dikeringkan.
2. Penuhkan mesin basuh dengan air. Jika ada cucian panas, hidupkan butang cucian panas. Jika tidak isikan dengan air biasa sahaja.
3. Masukkan 3 hingga 4 cawan cuka putih. Cuka dapat menyerap semua bau yang tidak enak dikeluarkan oleh mesin basuh di samping dapat membersihkan dan menyerap kekotoran yang terperangkap di dalam mesin basuh tersebut. Putarkan air selama 1 ke 2 minit.
4. Masukkan setengah cawan soda penaik ke dalam mesin basuh bersama campuran air dan cuka tadi.
5. Putarkan mesin basuh selama 5 minit dan biarkan ia terendam begitu selama 2 jam.
6. Selepas 2 jam, anda akan dapat melihat semua kekotoran akan mengembang dan keluar dari celah-celah mesin basuh.
7. Buangkan semua kekotoran itu. Selepas itu cuci dan bilas mesin basuh anda dengan air yang banyak sehingga ia bersih dan berkilat.
8. Setelah selesai dan kering, letakkan penapis habuk dan kotoran yang sudah bersih tadi kembali ke dalam mesin basuh.
Mencuci mesin basuh dengan serbuk pencuci khas mesin basuh
Jika anda tidak suka menggunakan soda penaik dan cuka putih, anda boleh menggunakan serbuk pencuci khas mesin basuh yang terdapat di pasaran dengan pelbagai jenama.