Takaful Malaysia Bhd, melancarkan portal jualan dalam talian, 'Click for Cover' sebagai inisiatif ke arah insurans digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil, berkata pelan strategi digital berkenaan menandakan komitmen syarikat ke arah merevolusikan perniagaan dengan mentransformasikan jualan dan operasi secara digital.
Katanya, dengan memanfaatkan teknologi digital dalam menawarkan kepelbagaian produk dan perkhidmatan, Takaful Malaysia mampu menembusi segmen pelanggan baharu menerusi produk perlindungan yang dipertingkat sekali gus memberikan pengalaman yang lebih baik.
"Pelanggan kami akan mendapat manfaat daripada pengalaman integrasi pelbagai saluran dan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk terus mendahului persaingan dan cabaran di dalam pasaran.
"Langkah strategik kami dalam menjadikan strategi digital sebagai peneraju dalam inovasi, persaingan dan pertumbuhan adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Majlis itu turut menyaksikan majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Takaful Malaysia dengan peneraju pasaran dalam teknologi data, analitik dan kepintaran buatan (AI), Fusionex International dan pakar pemasaran digital, ReMark International.
Johari berkata, pelancaran platform dalam talian itu sejajar dengan strategi digital yang digariskan oleh kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital.
Kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bank Islam juga dimeterai untuk memperkenalkan produk Takaful dalam talian kepada pendeposit TH dan pelanggan Bank Islam.
Portal 'Click for Cover' direka dengan paparan mesra pelanggan untuk mengakses produk dalam talian syarikat dengan kemudahan e-pembayaran serta keupayaan penaja jaminan masa sebenar.
Ketika ini, portal menawarkan produk Motor, Kemalangan Peribadi (PA) serta Perubatan dan lebih banyak lagi produk seperti Takaful Term Life, Penyakit Kritikal dan Travel PA akan disediakan pada tahun ini.