Wartawan HM menang anugerah pelancongan


Wartawan rencana Harian Metro, Suliati Asri, dinobatkan sebagai pemenang kategori artikel pelancongan terbaik (Penerbitan Bercetak - Tempatan) pada majlis Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017, malam ini.

Suliati memenangi kategori itu menerusi rencana, "Ini Di KL Lah..." yang disiarkan di ruangan Santai, Harian Metro pada 21 Julai 2016.

Rencana berkisar mengenai laluan kanopi diberi nama Titian Silara yang terletak di Taman Eko Rimba, Hutan Simpan Bukit Nanas, Kuala Lumpur itu menarik perhatian juri, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang kategori terbabit.

Suliati, ketika ditemui berkata, dua rencananya dicalonkan bagi kategori berkenaan selain rencana bertajuk "Khazanah Laut Menakjubkan."

"Alhamdulillah, syukur atas kemenangan ini, saya memang tidak menyangka dua rencana disenarai pendek untuk bersaing bagi kategori berkenaan.

"Ini adalah pencapaian terbaik saya dan saya rasa ia berbaloi sepanjang bergelar penulis pelancongan selama tujuh tahun di Harian Metro," katanya.

Suliati membawa pulang piala kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Siew Ka Wei.

Sebanyak 52 anugerah disampaikan bagi edisi ke-20 Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 kali ini membabitkan 14 kategori utama termasuk dua kategori baru iaitu Pusat Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik.

Program berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==
Kode DFP2