Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terbabas di Jalan Keramat Pulai, berhampiran Simpang Pulai, di sini, hari ini.
Khairul Idham Khairuddin, 37, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, jam 3 petang hari ini akibat kemalangan jam 1.40 tengah hari itu.
Mangsa yang bekerja sendiri dan beralamat di Perumahan Kastam, Jalan Heah Seng What, Butterworth, Pulau Pinang, menunggang motosikal jenis Honda CBR 1000 dan terbabas ke longkang di jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai.
"Motosikal mangsa terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kiri jalan. Keadaan jalan pada ketika kejadian adalah berselekoh dan cuaca hujan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat," katanya..