Lebih 90 peratus nama calon Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sudah dikemukakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ketika ini BN negeri dalam proses akhir untuk memuktamadkan nama calon yang bakal bertanding.
Katanya, perbincangan secara berterusan dilakukan antara beliau dengan Najib; timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"Lebih 90 peratus nama sudah dikenal pasti, cuma ada beberapa tempat yang masih belum dimuktamadkan dan kita masih teliti jika ada perubahan di saat akhir.
"Saya difahamkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sudahpun membuat tapisan ke atas calon dan tiada sebarang masalah berhubung hal itu," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen BN Terengganu di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Jailani Johari; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi jawatankuasa konvensyen itu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Lebih 1,000 ahli dan kepimpinan parti komponen BN berhimpun pada konvensyen dua hari itu bagi mengukuhkan komitmen untuk bergerak seiring membabitkan seluruh jentera menjelang PRU-14.
Ahmad Razif berkata, beliau akan mengetuai jentera parti untuk merampas kembali empat kerusi Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-13.
"Semua kawasan Parlimen dan DUN ini adalah fokus saya supaya BN dapat memenangi sebanyak mungkin kerusi pada PRU-14 nanti.
"Untuk 17 DUN BN sekarang, kepercayaan diletakkan kepada ketua bahagian bagi mengatur strategi untuk kekalkan kemenangan," katanya.