Chegu Bard serah bukti kes Ijok kepada SPRM Isnin ini


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan menyerahkan tambahan lima muka surat dokumen berhubung isu pampasan untuk peneroka tanah di Ijok, Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam, Isnin ini.

Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin, yang pernah menyerahkan dokumen 300 muka surat berkaitan kontroversi sama kepada SPRM pada September tahun lalu, menegaskan perkara itu dilakukan bagi membantu SPRM menyelesaikan kes terbabit segera.

Dakwanya, antara perkara yang terkandung dalam dokumen baharu itu adalah bukti penyelesaian luar mahkamah antara kerajaan Selangor dengan dua syarikat yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Kita dapati berlaku penyelesaian luar mahkamah yang direkod dan didaftarkan oleh mahkamah antara Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dengan dua syarikat yang dikatakan kroni UMNO.

"Menteri Besar memberi jalan penyelesaian dengan memberitahu bahawa terdapat syarikat membeli (tanah Ijok) dengan harga lebih mahal sehingga boleh memberi keuntungan lebih RM800 juta kepada dua syarikat terbabit, yang sebelum ini sudah mendera orang Melayu Ijok hampir 20 tahun.

"Dalam penyelesaian itu juga, kerajaan Selangor dikatakan mewajibkan syarikat pemaju dan pembeli berkaitan semua urusan tanah Ijok supaya melantik sebuah syarikat perundangan yang dipanggil Daim & Gamany yang mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin PKR iaitu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa," dakwanya ketika ditemui di sini, hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan SPRM masih mengkaji semua dokumen dirampas daripada lima syarikat bagi membantu kes penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor seluas kira-kira 880 hektar di mukim Ijok yang mencetuskan kontroversi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pada masa ini, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung isu penjualan tanah berkenaan.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham, yang lebih terkenal dengan panggilan Chegu Bard, berkata pada masa sama, beliau akan menghantar semula dua surat milik syarikat yang dikatakan kroni UMNO itu, yang ditandatangani bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

"Kes tanah ijok ini adalah isu penganiayaan Orang Melayu serta rasuah, yang mana rakyat perlu melihat kamu (Mohamed Azmin) yang baru menguasai Selangor, (tapi) kamu sudah menjadi lanun...bagaimana pula kamu nak menguasai kerajaan?

"Justeru, saya akan hantar semua bukti berkaitan isu tanah Ijok ke pejabat SPRM Shah Alam pada jam 2.30 petang Isnin ini termasuk senarai nama ahli politik yang mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan dan membuat pengakuan mengenai kes ini," katanya.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==
Kode DFP2