(Video) Beratus-Ratus Mayat Bayi Perempuan Ditemui Dibuang Dalam Longgokan Sampah Gara-Gara Tradisi Primitif


Beratus-ratus mayat bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui terbiar dalam longgokan sampah di Pakistan sejak setahun lalu, dipercayai ada kaitan dengan tradisi segelintir masyarakat di sana yang mengutamakan anak lelaki.

Sejak awal tahun 2017, sebanyak 345 bayi ditemui mati di sekitar Karachi, bandar paling padat di Pakistan. 99 peratus daripadanya adalah bayi perempuan, menurut laporan media tempatan.

Malah, ada juga laporan daripada aktivis tempatan yang menyebut mayat bayi perempuan berusia 4 hari ditemui dengan kesan luka pada lehernya. Dalam satu kejadian yang lain, seorang bayi yang ditemui orang ramai menemui ajal apabila dilontar batu setelah 'orang lama' dalam komuniti menuduh bayi tersebut adalah anak tidak sah.

Menurut laporan The News International, aktivis daripada Chhipa Welfare Foundation memberitahu mereka berhadapan sebanyak 93 kes sedemikian di Karachi, dengan 70 kes berlaku pada tahun 2017 manakala 23 kes tahun ini.

Di Pakistan, membuang bayi adalah satu kesalahan jenayah dan pihak polis memberitahu kemiskinan dan buta huruf menjadi faktor utama mendorong ibu bapa-ibu bapa membuang bayi mereka.

Bagaimanapun, Anwar Kazmi daripada Yayasan Karachi Edhi Center berkata, majoriti daripada kes pembuangan bayi berlaku disebabkan ia lahir dari perhubungan luar nikah.

Katanya lagi, wanita yang melahirkan bayi luar nikah biasanya akan dihukum bunuh disebabkan stigma masyarakat manakala si bapa akan terselamat kerana seringkali dilindungi oleh keluarga.

''Kami sudah kerap kali berhadapan dengan kes sebegini sejak bertahun lamanya dan ada beberapa insiden yang berlaku sangat menyentuh jiwa. Ia membuatkan kami terfikir sama ada masyarakat kami kini sedang menuju ke era primitif kembali.'' katanya.

Media juga turut membawa laporan yang diterbitkan oleh Oxford Institute of Population Ageing yang mendapati masyarakat di Pakistan mengutamakan anak lelaki dan rakyat negara itu perlu mencari jalan untuk mengatasi 'ketidakadilan jantina yang berpegang kepada persepsi bahawa anak lelaki lebih bernilai berbanding anak perempuan'.

Seorang pegawai polis memberitahu bahawa pihaknya hanya dapat menjalankan siasatan secara terperinci sekiranya ada laporan polis di buat, namun katanya, polis hanya menerima satu laporan sahaja sepanjang tahun lepas berhubung kematian bayi akibat dibuang.


close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==
Kode DFP2